Tuesday 15 November 2011

Globalisasi, Ekonomi dan Kesannya



Ia dikaitkan dengan fenomenologi pengecutan dunia dan mempunyai maksud reruang (spatial) dengan adanya hubungkait antara negara dan masyarakat. Pengecutan atau penyusutan jarak dan masa adalah ciri-ciri penting globalisasi. Jarak fizikal tidak lagi menjadi penghalang. Ini menjadikan modal dan capital lebih sensitive kepada ruang-ruang dalam dunia global. Aliran maklumat dan modal yang tanpa batasan fizikal menghasilkan kawasan-kawasan modal baru dalam ekonomi global.

Banyak pihak di dunia telah dan sedang menilai buruk baiknya globalisasi kontemporari, terutamanya globalisasi ekonomi. Chandra Muzaffar telah menyenaraikan lapan kebaikan globalisasi tetapi senarai keburukannya lebih panjang, iaitu sebanyak tiga belas keburukan. Walaupun perkiraan kuantiti tidak semestinya boleh disamakan dengan pertimbangan kualiti dalam menilai globalisasi, namun banyak pihak berpendapat bahawa globalisasi mendatangkan lebih banyak keburukan kepada umat manusia seluruh dunia daripada kebaikan. Menurut Chandra, lapan aspek positif globalisasi ialah:-

(1)       Peranan pelaburan asing (FDI) dalam mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kemiskinan di sebilangan negara,
(2)   Peningkatan mobiliti sosial dan pengukuhan kelas menengah.
(3)  Peluang yang lebih luas untuk mendapatkan maklumat dan menyebarkan ilmu pengetahuan berkat teknologi baru komunikasi dan maklumat.
(4)     Komunikasi yang lebuh mudah dan juga murah.
(5)  Peluang yang lebih luas untuk manusia dari berbagai-bagai kumpulan etnik, budaya dan agama berinteraksi
(6)    Peluang lebih luas untuk menzahirkan simpati dan rasa keperimanusian mereka terhadap mangsa-mangsa pelbagai jenis bencana alam dan tragedi buatan manusia di seluruh dunia,
(7)  Penonjolan idea-idea dan amalan pemerintahan yang baik seperti kebertanggungjawaban awam, peraturan undang-undang dan hak-hak asasi manusia.
(8)    Penonjolan hak-hak asasi kaum wanita

Jika diperhatikan, maka kita dapati bahawa sebahagian besar manfaat globalisasi adalah yang berkaitan dengan dimensi ekonomi manakala bakinya berkaitan dengan dimensi politik dan sosial. Dari segi keburukan globalisasi pula, 13 belas perkara yang disenaraikan oleh Chandra ialah:

(1)      Kualiti alam sekitar yang semakin merosot sebagai akibat terlalu mementingkan faktor keuntungan.
(2)  Pembangunan yang tidak seimbang dan jurang perbezaan ekonomi yang semakin melebarantara kawasan-kawasan di sesebuah negara dan antara sektor-sektor ekonomi.
(3)   Pengabaian keperluan asas hidup di kalangan rakyat termiskin di banyak negara terutamanya di negara-negara Selatan.
(4)    Modal jangka pendek yang keluar masuk pasaran seperti kilat sebagai akibat amalan baru yang menjadikan wang sendiri sebagai komoditi keuntungan.
(5)    Pengangguran yang semakin memburuk dan jurang perbezaan pendapatan yang semakin melebar di negara-negara Utara sendiri.
(6)  Penyebaran budaya pengguna yang bertentangan dengan tuntutan nilai-nilai kerohanian dan moral yang murni dan yang merendahkan martabat keinsanan manusia.
(7)   Kecenderungan ke arah pembentukan suatu budaya global yang homogeni menerusi peranan yang dimainkan oleh perbadanan transnasional dan media komunikasi global.
(8) Penyebaran budaya pop Amerika yang “menyegarkan pancaindera dan mematikan roh”.
(9)    Kecenderungan pusat-pusat pengajian tinggi untuk memberi keutamaan kepada kursus-kursus ilmu pengurusan dan teknik dengan mengabaikan kursus-kursus ilmu kemanusiaan dan kemasyarakatan
(10)    Pembanjiran maklumat yang tidak berguna.
(11)  Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah memanipulasikan isu-isu demokrasi dan hak-hak asasi manusia untuk mendominasi politik dunia.
(12)   Pengantarabangsaan jenayah yang menyukarkan jenayah dibendung.
(13)     Pengantarabangsaan penyakit.

Dapat saya simpulkan disini bahawa globalisasi sememangnya mendatangkan kebaikan kepada sesebuah negara terutamanya dari sudut ekonomi. Namun, ia juga mendatangkan keburukan kepada sesebuah negara terutamanya kepada negara dunia ke 3 dari pelbagai aspek. Seperti yang hujah yang dikemukan oleh Dr Chandra Muzaffar ia memang nampak ketidakseimbangan dan wujudnya kuasa yang mengawal dunia iaitu Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah yang lain.


Sumber: Osman Bakar (2008), Pengaruh Globalisasi Terhadap Peradaban, Universiti Malaya: Jurnal Rasmi Pusat Dialog Peradaban.