Saturday 10 December 2011

WANITA DI ERA GLOBALISASI 2

WANITA ASIA-AFRIKA: POTRET KEMISKINAN

Di Asia dan Afrika, keadaan wanita di sana mempunyai banyak persamaan, kecuali di negara-negara Timur Tengah. Permasalahan terbesar yang dihadapi negara Asia-Afrika adalah kemiskinan dan dalam keadaan seperti itu, mahu tidak mahu golongan wanita turut menanggung beban akibat kemiskinan itu.
           Daripada data-data yang ada, menunjukkan kira-kira 70 peratus daripada jumlah kemiskinan di Asia dan Afrika adalah wanita. Faktor kemiskinan ini telah mendorong wanita-wanita di Thailand, termasuk gadis-gadis di bawah umur menjual diri di bursa seks kelas bawahan dengan harga puluhan ringgit sahaja. Begitu juga golongan wanita-wanita di Filipina, antara tahun 1987-1992, kira-kira 261 527 orang wanita, umumnya berusia belasan tahun, memasuki pasaran Jepun sebagai wanita penghibur. Kemiskinan juga turut bertaburan di Bangladesh, Sri Lanka, India, Indonesia dan sebahagian besar juga datangnya dari negara-negara Afrika.
           Di Asia, 35 anggota pelbagai organisasi dari 11 negara Asia, memberikan perhatian amat besar kepada wanita, memberitahu bahawa perbezaan ketara dalam pembangunan ekonomi, teknologi dan sistem harga yang lebih adil dalam model pembangunan yang kemukakan oleh Bank Dunia serta Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), menyebabkan banyak negara dan manusia terus menerus dihimpit dalam arus kemiskinan.
            Program penstrukturan ekonomi yang direncanakan oleh Bank Dunia bersama-sama IMF kepada negara-negara penghutang, sekali lagi terus membuat rakyat miskin menjadi bertambah miskin. Peningkatan kadar kemiskinan serta berkurangnya pekerjaan yang produktif dengan gaji kecil di negara asal, memaksa golongan lelaki dan perempuan, termasuk golongan kanak-kanak, bermigrasi ke luar negara dan sehingga ke saat ini terdapat kira-kira 12 juta pekerja migran dari Asia, separuh diantaranya perempuan, dan jumlah ini terus bertambah sehingga ke hari ini.
            Di sini kita dapat melihat dengan jelas hasil pembawaan fahaman Kapitalisme, melalui Bank Dunia dan IMF melahirkan kemiskinan yang semakin luas di Asia dan Afrika.
          Di negara sosialis seperti China, masalah yang dihadapi tidak jauh berbeza kerana kemiskinan masih menghantui sebagian besar masyarakatnya. Dengan jumlah penduduk terbesar di dunia, untuk meningkatkan taraf ekonominya, China banyak menjalankan program yang agak kontroversi dengan mengawal kelahiran di sana. Setiap keluarga  hanya dibenarkan memiliki seorang cahaya mata.
          Negara itu berkeyakinan dengan mengawal pertumbuhan penduduk ia adalah demi kepentingan seluruh rakyat China dan dengan mengorbankan kepentingan peribadi sambil pembudayaan yang mengagungkan kelahiran bayi lelaki jadi kelahiran bayi perempuan hanya akan mengakibatkan pengguguran. Jadi, tindakan itu sama seperti membunuh! Itulah realiti dan di sini menjadi bukti sejarah jahiliyah telah terulang.

WANITA ARAB / TIMUR TENGAH: “LEBIH BAIK, TAPI…”

           Jika mahu dibandingkan antara wanita-wanita di dunia ini, sudah pastinya wanita Arab / Timur Tengah memiliki nasib yang lebih baik serta tinggal dalam keadaan yang paling memuaskan walaupun golongan wanita ini tidak bekerja, tidak akan kedengaran wujudnya kemiskinan di kalangan mereka.
           Faktor utama yang menyebabkan kemewahan mereka ialah, nafkah mereka ditanggung sepenuhnya oleh para pemimpin dan paling tidak pemimpin di setiap daerah menjaga hidup mereka sepenuhnya.
            Wanita Timur Tengah juga mendapatkan jaminan pendidikan sama taraf dengan golongan lelaki, malah telah banyak didirikan sekolah khusus untuk wanita di sana dengan kemudahan kesihatan dan lain-lain seolah-olah hijab yang dipakai tidak menghalang kemajuan wanita di sana.
             Namun begitu, hak wanita telah dibatasi oleh undang-undang negara dan pemilikan hak antara golongan lelaki dan wanita amat, ketara malah sehingga ke hari ini wanita-wanita Timur Tengah tidak mempunyai hak dalam sistem politik negara, malah tidak diberikan hak untuk mengundi.
              Rumusannya, dari gambaran tentang wanita, kita mampu melihat betapa beragamnya masalah yang membelenggu golongan wanita di seluruh dunia. Namun, jika kita selami lagi permasalahan ini sebenarnya masalah yang dihadapi oleh golongan wanita adalah permasalahan asas yang dihadapi oleh manusia umumnya. Sebagai contoh, kemiskinan juga dihadapi oleh golongan lelaki, namun ia tampak berat untuk dipikul oleh wanita kerana sifat kewanitaannya.
           Keadaan wanita yang berbeza dipelbagai pecahan dunia adalah disebabkan wujudnya peraturan-peraturan yang direka. Sekiranya peraturan-peraturan ini diatur dan diseragamkan dengan sewajarnya dengan mengambil kira nilai-nilai dan hak-hak wanita ini, mungkin permasalahan yang membelenggu wanita ini dapat diselesaikan tanpa menjejaskan perhubungan lelaki dan wanita.
          Akhirnya, jawapan kepada siapa ´menjajah wanita´ ini tidak lain hanyalah peraturan itu sendiri yang menjadi dalang utama kepada masalah wanita selama ini.

No comments:

Post a Comment