Tuesday 6 December 2011

WANITA DI ERA GLOBALISASI 1



WANITA AMERIKA: BOOMERANG EMANSIPASI


Amerika adalah negara tempat lahirnya Gerakan Pembebasan wanita atau Women´s Liberation dan sehingga ke saat ini, wanita Amerika yang bersuara paling nyaring dalam memperjuangkan persamaan hak wanita. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan jika kita dapat melihat bagaimana buruknya keadaan wanita hingga ke awal abad ke-20.

          Pada ketika itu kaum wanita Amerika dianggap sebagai warga kelas dua yang tidak boleh mengundi pada pilihanraya umum dan dari segi hukum perkahwinan, para wanita tidak berhak menguasai harta miliknya sendiri. Walaupun harta daripada titik peluhnya sendiri, harta itu tetap menjadi milik suaminya. Begitu juga dalam hal pendidikan, kaum wanita menemui banyak hambatan untuk mendapatkan pendidikan yang sejajar dengan golongan lelaki dan ia seolah-olah api dalam sekam, ketempangan ini akhirnya melahirkan pemberontakan wanita Amerika, dengan munculnya liberalisme yang menggugat masyarakat ketika itu.

          Pendekatan liberal feminisme ini diusahakan adalah untuk menyedarkan wanita bahawa mereka adalah golongan yang ditindas dan pekerjaan yang dilakukan wanita di sektor domestik hanya berposisikan subordinat tanpa mendapat perkembangan dan peningkatan. Akhirnya, budaya masyarakat Amerika yang sangat materialistik, mengukur segala sesuatu dari sudut material, dan juga individualistik telah mendorongkan lagi semangat feminisme. Hasilnya, kebanyakan wanita telah keluar dan tidak lagi mahu bergantung pada golongan lelaki.

         Walau bagaimanapun, ternyata hasil daripada gerakan feminisme ini telah melahirkan satu lagi persoalan, bahkan emansipasi yang mereka perjuangkan memunculkan permasalahan baru bagi wanita. Keadaan ekonomi wanita secara puratanya telah menurun, padahal jumlah wanita yang bekerja di luar rumah semakin banyak. Malah jumlah dua pertiga orang dewasa yang miskin di Amerika adalah wanita. Tingkat kadar upah tidak berubah dan data tahun 1985 menunjukkan tingkat upah rata-rata wanita di AS adalah 64 peratus daripada tingkat upah golongan lelaki dan jumlah ini adalah sama ketika zaman 1930-an lagi.

          Penyebab utama yang memburukkan keadaan wanita ialah tingginya angka perceraian, malah angka perceraian di AS meningkat dengan hebat semenjak tahun 1960-an dan jumlah anak yang dibesarkan dalam keluarga ibu tunggal telah mencapai 50 peratus pada tahun 1980-an. Perceraian dengan beban pengasuhan anak-anak, telah menyebabkan keadaan ini bertambah buruk lagi dan amat menyedihkan sekali.
          Sementara itu, kekerasan terhadap wanita juga meningkat malah kekerasan fizikal yang dialami oleh wanita berlaku setiap detik. Tabiat pergaulan yang bebas dan keengganan untuk berkahwin, menyebabkan tingginya angka perkosaan wanita, aitu enam minit sekali.
          Lebih ironi apabila menurut laporan majalah Fortune, Amerika, edisi 2, banyak wanita eksekutif mengalami tekanan dan seringkali mengalami kekecewaan, ketidakpuasan dan gusar, sehingga hidup serta jiwa mereka menjadi kacau. Namun begitu, secara amnya, kebanyakan mereka mengalami perceraian dan gangguan hubungan sosial dalam keluarga.

          Namun, jika dikaji dengan lebih mendalam lagi, diskriminasi di Amerika tidak hanya menimpa wanita, malah warga kulit hitam turut menerima nasib yang sama. Dalam dunia kapitalisme, tujuan utama pengusaha adalah untuk mendapatkan keuntungan yang besar dengan pengeluaran modal yang minima. Jadi orang-orang yang memiliki penawaran jumlah yang kurang seperti golongan wanita dan kulit hitam ini secara tidak langsung mereka menjadi mangsa dan terpaksa menerima walau berapa pun jumlah gaji yang diberikan untuk mempertahankan hidup.



















WANITA EROPAH: ANTARA KAPITALIS DENGAN SOSIALIS

Keadaan wanita Eropah lebih kompleks, kerana ideologi yang berkembang di Eropah tidak hanya bersifat kapitalis, tetapi ditambah dengan kefahaman sosialis dan ideologi ini secara tidak langsung mempengaruhi juga bentuk perjuangan wanita, sehingga muncul feminisme liberal dan feminisme sosial.
         Di Eropah Barat, mereka yang menganut sistem liberal telah mewujudkan permasalahan hampir sama dengan apa yang berlaku di Amerika dan di England, iaitu perceraian keluarga menjadi suatu obsesi di sana.
         Di Eropah Utara terdapat mereka yang kuat memegang fahaman individualisme, sekali gus memunculkan gerakan feminisme liberal-radikal, iaitu gerakan yang berpendapat bahawa ada sumber penindasan wanita yang lebih fundamental (asas) dikenali sebagai patriaki.
          Sistem patriarki adalah sistem yang menempatkan golongan lelaki sebagai ketua keluarga dan dalam konteks sosial yang lebih luas lagi, sistem patriarki dikaitkan dengan segala aspek yang menjadikan golongan lelaki memiliki kekuasaan lebih besar dari wanita, baik dalam sektor ekonomi mahupun politik. Oleh kerana itu, perkara utama yang perlu dirombak oleh golongan di Eropah ini ialah dengan merubah struktur patriarki supaya menjadi struktur yang lebih seimbang.
         Hasil daripada gerakan radikal feminisme ini telah memperlihatkan keseimbangan yang wujud di antara lelaki dan wanita dalam memenuhi kerusi parlimen di Eropah dengan 39.4 peratus anggota parlimennya terdiri daripada golongan wanita di Norway, 40 peratus di Sweden, 39 peratus di Finland dan 30.3 peratus di Denmark. Angka-angka ini jauh lebih besar jika dibandingkan di Amerika Syarikat yang memperlihatkan hanya 11 peratus di Dewan Perwakilan Rakyat dan 7 peratus di Senat, manakala di seluruh dunia puratanya hanyalah 10.51 peratus. 
          Namun begitu, adakah wujud sebarang perbezaan apabila adanya golongan wanita yang duduk di kerusi parlimen atau dapatkah mereka menyelesaikan sebarang permasalahan yang wujud?
          Realitinya, keadaan di negara-negara Eropah Utara ini, jumlah masalah keruntuhan institusi keluarga masih besar, manakala di Sweden dan Denmark jumlah anak luar nikah yang dilahirkan masih statik, malah jumlah yang tinggi dari perkahwinan di Sweden dan Norway berakhir dengan perceraian.
          Sweden dan negara-negara Eropah Utara umumnya, memang telah menguar-uarkan bahawa mereka adalah sebuah negara yang individualistik dan di sana juga telah menghalalkan kebebasan hubungan seks disebabkan golongan fundalmentalis ini mahukan keseimbangan antara golongan lelaki dan perempuan. Akhirnya, telah terjadi keruntuhan akhlak yang hebat bersama-sama robohnya moral masyarakat di sana.
         Di Eropah Timur, semasa golongan sosialis masih berkuasa, idea feminisme yang berkembang adalah feminisme sosialis yang menghapuskan sistem pemilikan, iaitu institusi perkahwinan tidak membenarkan pemilikan mutlak si suami ke atas harta mahupun pemilikan suami ke atas isteri.
         Namun, pada ketika runtuhnya fahaman sosialis, ia telah mengakibatkan berkembangnya fahaman kapitalisme yang menjadikan sikap individualistik ini sebagai ikutan utama. Keadaan ekonomi yang buruk serta sering berlakunya peperangan, membuatkan rakyat Eropah Timur terus hidup dalam kemiskinan, akibatnya golongan wanita juga menerima beban kemiskinan yang telah timbul.
          Paling menakutkan ialah keadaan wanita di Bosnia kerana lewat perang di sana, golongan wanita menjadi mangsa kerakusan nafsu apabila lebih dari 20 juta wanita dilaporkan telah diperkosa oleh tentera Serbia. Itulah kaedah yang digunakan oleh masyarakat di sana dalam usaha mereka mahu membersihkan golongan Muslim dari bumi Eropah.

No comments:

Post a Comment